Syarat persaraan pilihan
Tujuh syarat ini disenaraikan dalam Ceraian PP.1.2.11 pekeliling Persaraan dan Faedah Persaraan. Semuanya mesti dipenuhi:
- telah disahkan dalam perkhidmatan dan diberi taraf berpencen;
- berumur genap 40 tahun ke atas pada tarikh persaraan pilihan;
- ada tempoh perkhidmatan yang boleh dimasuk kira tidak kurang 10 tahun;
- permohonan disokong Ketua Jabatan;
- lulus tapisan keutuhan SPRM;
- bebas daripada siasatan, tindakan tatatertib atau kes mahkamah;
- jika terikat dengan perjanjian biasiswa atau pinjaman pendidikan, sudah mendapat surat persetujuan penaja.
Tapisan SPRM kini untuk semua gred. Sejak 1 Januari 2022, setiap pemohon persaraan pilihan mesti lulus tapisan keutuhan SPRM sebelum permohonan dihantar ke JPA atau KWAP. Sebelum itu ia hanya untuk gred 27 ke atas, jadi artikel lama yang menyebut "gred 27 ke atas sahaja" sudah tidak tepat.
Bila pencen pilihan mula dibayar
Umur pencen bergantung pada tarikh anda dilantik, bukan tarikh bersara. Bagi lantikan sebelum 12 April 1991, jantina dan kategori jawatan juga dikira (seksyen 12 Akta Pencen 1980).
| Dilantik | Pegawai | Pencen mula |
|---|---|---|
| Pada atau selepas 12 April 1991 | Semua | Umur 55 |
| Sebelum 12 April 1991 | Pegawai perempuan; pegawai perkhidmatan bomba berpangkat pegawai rendah ke bawah; pegawai polis berpangkat rendah daripada Penolong Penguasa Polis; pegawai penjara berpangkat rendah daripada Penguasa; jururawat lelaki di hospital mental | Umur 45 |
| Sebelum 12 April 1991 | Pegawai lelaki lain | Umur 50 |
Ganjaran dan GCR tidak menunggu umur itu. Kedua-duanya layak dibayar pada tarikh persaraan pilihan berkuat kuasa.
Jika pada tarikh bersara anda sudah melepasi umur pencen, contohnya bersara pilihan pada umur 57, syarat umur itu sudah dipenuhi dan tiada tempoh menunggu. Kalkulator di atas menunjukkan tarikh ini untuk kes anda.
Membandingkan dengan kalkulator persaraan pilihan JPA? Bagi sesetengah tarikh, contohnya dilantik pada bulan Ogos dan bersara pilihan pada bulan Julai, kalkulator itu memaparkan tarikh pencen mula setahun lebih awal. Yang terpakai tetap hari lahir ke-55, atau ke-45/50 bagi lantikan sebelum 12 April 1991 (seksyen 12 Akta Pencen 1980).
Cara kira pencen pilihan
Lima langkah, sama seperti yang dibuat kalkulator di atas:
- Semak dua syarat asas pada tarikh bersara pilihan: umur genap 40 tahun dan sekurang-kurangnya 120 genap bulan perkhidmatan yang boleh dimasuk kira.
- Kira genap bulan dari tarikh mula berkhidmat hingga tarikh bersara pilihan, kemudian tolak cuti tanpa gaji yang tidak dikira.
- Pencen bulanan = 1/600 × genap bulan × gaji akhir, dengan had 60% dan minimum RM1,000 jika 300 bulan ke atas.
- Ganjaran = 7.5% × genap bulan × gaji akhir. GCR = 1/30 × hari terkumpul × (gaji hakiki + imbuhan tetap), had 180 hari.
- Tarikh pencen mula ialah hari lahir ke-55, atau ke-45/50 bagi lantikan sebelum 12 April 1991. Ganjaran dan GCR pula pada tarikh bersara.
Contoh: bersara pilihan umur 50 berbanding tunggu 60
Lahir 5 Mei 1976. Mula berkhidmat 1 Jun 2001. Umur bersara wajib 60.
Bersara pilihan pada 1 Julai 2026 (umur 50). Gaji akhir RM5,600.00, imbuhan tetap RM500.00, GCR 120 hari.
| Perkara | Bersara 1 Julai 2026 | Tunggu hingga 5 Mei 2036 |
|---|---|---|
| Genap bulan | 301 | 419 |
| Kadar pencen | 50.17% | 60% (had) |
| Pencen sebulan | RM2,809.33 | RM3,360.00 |
| Pencen mula dibayar | 5 Mei 2031 | 5 Mei 2036 |
| Ganjaran | RM126,420.00 | RM175,980.00 |
| GCR (120 hari) | RM24,400.00 | ikut baki ketika itu |
Beza pencen RM550.67 sebulan, dan ganjaran kurang RM49,560.00. Lebih penting, tiada pencen bulanan langsung dari Julai 2026 hingga Mei 2031, hampir lima tahun.
Perbandingan ini menganggap gaji kekal RM5,600. Jika gaji naik sebelum umur 60, jurang sebenarnya lebih besar. Kiraan: 1/600 × 301 × RM5,600 = RM2,809.33; 7.5% × 301 × RM5,600 = RM126,420.00; 1/30 × 120 × RM6,100 = RM24,400.00.
Cara memohon persaraan pilihan
- Hantar surat permohonan persaraan pilihan kepada Ketua Jabatan untuk disokong.
- Jabatan menyemak permohonan dan memastikan semua syarat dipenuhi, termasuk tapisan keutuhan SPRM.
- Ketua Jabatan mengemukakan Borang JPA.BP.HRMIS01 yang lengkap, ditandatangani anda dan disahkan Ketua Jabatan, ke KWAP bersama surat iringan dan dokumen sokongan. Antaranya kenyataan perkhidmatan dan kenyataan cuti yang disahkan, salinan sijil nikah, daftar perkahwinan, cerai atau rujuk pasangan, dan surat permohonan yang sudah disokong.
- JPA menyemak dan meluluskan. Surat kelulusan boleh diperoleh melalui sistem semakan JPA (lihat di bawah).
Tempoh permohonan: seawal 6 bulan, selewat 3 bulan sebelum tarikh bersara. Tempoh 6 bulan ini hasil pindaan pekeliling pada 26 September 2025; sebelum itu seawal 9 bulan. Permohonan yang dikemukakan kurang daripada 3 bulan sebelum tarikh bersara tidak akan dipertimbangkan.
Semakan status permohonan pencen pilihan
Status dan surat kelulusan disemak di halaman Semakan Permohonan Persaraan Pilihan. Masukkan 12 digit nombor kad pengenalan tanpa sengkang, kemudian tekan Hantar.
- Semakan Permohonan Persaraan Pilihanapps.jpapencen.gov.my/ps/
Nombor kad pengenalan dimasukkan di laman JPA itu sahaja. Kira Pencen tidak pernah memintanya.
Tukar tarikh, batal, atau kelulusan ditarik balik
Mahu meminda tarikh atau membatalkan? Hantar surat permohonan berserta justifikasi, disokong Ketua Jabatan, kepada JPA selewat-lewatnya 30 hari sebelum tarikh bersara. JPA boleh menolak permohonan yang lewat.
Sehingga tarikh itu tiba, anda masih penjawat awam. Pekeliling menyebut persaraan pilihan bukan hak tetapi kemudahan, dan JPA boleh menarik balik kelulusan:
- sebelum tarikh berkuat kuasa, jika ada prosiding jenayah, siasatan SPRM atau tindakan tatatertib yang belum selesai;
- sebelum tarikh berkuat kuasa, atas kepentingan perkhidmatan atau tanpa memberikan apa-apa sebab;
- selepas tarikh berkuat kuasa, jika terdapat kesilapan fakta tentang kelayakan yang dimaklumkan kepada JPA selepas anda bersara.
Sumber: Ceraian PP.1.2.11 perenggan 23 dan 24 serta perenggan 26 hingga 29.
Jika meninggal dunia sebelum umur pencen
Jika pesara pilihan meninggal dunia sebelum mencapai umur pencennya (45, 50 atau 55), Yang di-Pertuan Agong boleh terus memberikan kepada orang yang layak sama ada pencen terbitan tidak kurang 1/5 gaji akhir berserta ganjaran terbitan, atau ganjaran terbitan sahaja. Ini diperuntukkan dalam seksyen 12(4) Akta Pencen 1980.
Bersara pilihan untuk bertanding pilihan raya
Syaratnya sama dengan persaraan pilihan biasa. Bezanya, dokumen dihantar terus ke JPA selewat-lewatnya sehari sebelum Hari Penamaan Calon, bersama surat pencalonan parti dan surat keputusan tapisan SPRM. Pembatalan pun mesti sampai sehari sebelum Hari Penamaan Calon.
Soalan lazim pencen pilihan
Bila ganjaran pencen pilihan dibayar?
Pada tarikh persaraan pilihan berkuat kuasa, bersama GCR. Pencen bulanan pula menunggu umur 55, atau 45/50 bagi lantikan sebelum 12 April 1991.
Boleh bersara pilihan dengan 8 tahun khidmat?
Tidak. Pekeliling JPA meletakkan 10 tahun perkhidmatan yang boleh dimasuk kira sebagai syarat permohonan, dan Akta Pencen hanya membenarkan faedah persaraan pilihan selepas 10 tahun.
Umur 55 tu dikira dari bila?
Dari hari lahir. Lahir 5 Mei 1976, pencen bermula pada hari lahir ke-55, iaitu 5 Mei 2031.
Apakah pekeliling pencen pilihan terkini?
Ceraian PP.1.2.11 dalam pekeliling JPA Persaraan dan Faedah Persaraan (MyPPSM). Pindaan terakhirnya pada 26 September 2025 menukar tempoh permohonan kepada 6 hingga 3 bulan sebelum tarikh bersara.
Pencen pilihan dikira lebih rendah daripada pencen wajib?
Kadarnya tidak berbeza. Formulanya sama dengan pengiraan pencen persaraan wajib: 1/600 × genap bulan × gaji akhir, had 60%, dan minimum RM1,000 bagi 300 bulan ke atas. Angkanya biasanya lebih rendah kerana bulan perkhidmatan lebih sedikit dan gaji akhir diambil lebih awal.
Bagaimana cara memohon pencen pilihan?
Mulakan dengan surat permohonan kepada Ketua Jabatan. Permohonan lengkap mesti dikemukakan seawal 6 bulan dan selewat 3 bulan sebelum tarikh bersara, jadi jangan tunggu saat akhir. Langkah penuhnya ada di bahagian cara memohon di atas.