Kira Pencen

Pengiraan GCR (Gantian Cuti Rehat): Formula, Had dan Kalkulator

Berdasarkan Akta Pencen 1980 dan pekeliling JPA Persaraan dan Faedah Persaraan (pindaan terakhir 26 September 2025).

Kiraan GCR: 1/30 × jumlah hari cuti terkumpul × (gaji hakiki + imbuhan tetap), dan paling banyak 180 hari dibayar sepanjang perkhidmatan.

Contoh daripada Panduan Mengurus GCR 2026 terbitan JPA: Penolong Pegawai Tadbir Gred N7, 180 hari.

Gaji hakiki RM5,578.00 + ITP RM300.00 + ITKA RM220.00 = RM6,098.00

1/30 × 180 × RM6,098.00 = RM36,588.00

Kalau 90 hari sudah ditebus lebih awal, baki yang dibayar semasa bersara paling banyak 90 hari lagi. Kalkulator di bawah mengira kedua-dua keadaan.

Kalkulator GCR 180 hari dan GCR 90 hari (tebus awal)

Pilih jenis kiraan, kemudian masukkan gaji hakiki, imbuhan tetap dan hari GCR anda.

Jenis kiraan
Gaji hakiki pada gred yang telah disahkan. Jangan campur elaun berpencen.
Sepanjang perkhidmatan, termasuk hari yang sudah ditebus awal (jika ada).

Maksud GCR dan imbuhan tetap yang dikira

GCR (Gantian Cuti Rehat) ialah bayaran tunai bagi cuti rehat yang tidak dapat dihabiskan kerana kepentingan perkhidmatan. Pekeliling JPA menyebutnya "award wang tunai". GCR berkuat kuasa sejak 1 Januari 1974 dan dibayar sebagai sebahagian faedah persaraan.

Asasnya berbeza daripada pencen. Untuk GCR, gaji hakiki dicampur imbuhan tetap, tetapi elaun berpencen tidak dicampur.

Imbuhan tetap yang diambil kira (Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 hingga 5 Tahun 2024, SSPA)
SingkatanNama penuh
ITJUImbuhan Tetap Jawatan Utama
ITKImbuhan Tetap Keraian
ITPImbuhan Tetap Perumahan
ITKAImbuhan Tetap Khidmat Awam

Jika anda menerima Bayaran Imbuhan Perumahan Wilayah, bayaran itu ditukar kepada ITP apabila anda bersara atau memohon pemberian awal GCR, dan ITP itulah yang masuk dalam kiraan. Gaji dan imbuhan diambil pada gred yang anda telah disahkan dalam jawatan.

Had maksimum GCR: 180 hari

Had pengumpulan GCR dinaikkan beberapa kali. Untuk yang bersara hari ini, hadnya 180 hari, berkuat kuasa 1 Januari 2023 melalui Warta P.U.(A) 149/2023.

TempohHad GCR
1974 hingga 200290 hari
2003 hingga 2008120 hari
2009 hingga 2021150 hari
2022160 hari
1 Januari 2023 hingga kini180 hari

Cuti terkumpul melebihi 180 hari tidak dibayar tunai. Sejak 1 Januari 2018, lebihan itu boleh digunakan sebagai cuti rehat dalam 12 bulan sebelum tarikh bersara, sekali gus atau berperingkat, dengan kelulusan Ketua Jabatan melalui borang Lampiran PP.1.3.3(A).

Contoh dalam panduan JPA: pegawai yang mengumpul 250 hari dan bersara pada 10 Disember 2025 boleh mula menggunakan lebihan 70 hari sebagai cuti rehat dari 10 Disember 2024.

Cara kira GCR 180 hari dengan cepat

180 dibahagi 30 ialah 6. Jadi GCR penuh 180 hari sama dengan enam kali gaji hakiki campur imbuhan tetap sebulan. Tebusan awal 90 hari pula tiga kali.

Gaji hakiki + imbuhan tetap180 hari90 hari
RM3,000RM18,000.00RM9,000.00
RM4,500RM27,000.00RM13,500.00
RM6,000RM36,000.00RM18,000.00
RM8,000RM48,000.00RM24,000.00

Setiap hari GCR bernilai 1/30 daripada jumlah itu. Pada RM6,000 sebulan, sehari bernilai RM200.

Berapa hari GCR boleh dikumpul setahun

Setiap tahun, cuti rehat yang boleh dikumpul untuk GCR ialah 15 hari atau separuh kelayakan cuti rehat tahun itu, mana yang kurang.

Berdasarkan Panduan Mengurus GCR 2026, muka surat 14 dan 33
Kelayakan cuti setahunGCR maksimum setahun
Cuti rehat tahunan 35 hari15 hari
Cuti rehat tahunan 30 hari15 hari
Cuti rehat tahunan 25 hari12 hari
Cuti rehat tahunan 20 hari10 hari
Cuti rehat khas guru (CRK): 7 hari mulai 1 Mac 2004, 10 hari mulai 1 Januari 2018, 15 hari mulai 1 September 2022 (genap 10 tahun khidmat)Semua baki CRK tahun itu

Kelayakan itu berkurang, dan GCR maksimum turut turun, jika anda mengambil cuti tanpa gaji, cuti separuh gaji, cuti haji, cuti belajar atau cuti sakit tibi, kusta atau barah pada tahun tersebut.

Tahun terakhir lain sedikit. Pada tahun bersara, baki cuti rehat boleh dikumpul sehingga sama banyak dengan kelayakan cuti rehat tahunan, bukan terhad 15 hari. Kelayakan tahun itu diprorata hingga tarikh bersara, dan baki yang tidak dikumpul akan luput.

Pengiraan GCR 90 hari (pemberian awal)

Sejak 1 Januari 2022, sebahagian GCR boleh ditebus sebelum bersara. Pada 2022 jumlahnya 80 hari; mulai 1 Januari 2023, 90 hari. Syaratnya:

  • tempoh perkhidmatan yang boleh dimasuk kira sekurang-kurangnya 15 tahun;
  • sudah berumur 45 tahun;
  • GCR terkumpul sekurang-kurangnya 90 hari sebelum memohon;
  • bebas daripada prosiding jenayah atau tindakan tatatertib;
  • mendapat perakuan Ketua Jabatan.

GCR awal = 1/30 × gaji semasa × 90 hari

Contoh JPA: Pegawai Sains Gred C10 dengan 150 hari. Gaji hakiki RM6,120.00 + ITP RM400.00 + ITK RM400.00 = RM6,920.00. Maka 1/30 × 90 × RM6,920.00 = RM20,760.00.

Tebusan awal hanya boleh dibuat sekali sepanjang perkhidmatan. Hari yang ditebus dipotong daripada baki terkumpul pada masa memohon, dan had 180 hari sepanjang perkhidmatan termasuk hari yang sudah dibayar itu. Jadi selepas tebus 90 hari, paling banyak 90 hari lagi dibayar semasa bersara.

Selepas tebus 90 hari: hari dan amaun yang dibayar semasa bersara, ikut jumlah GCR sepanjang perkhidmatan. Contoh JPA, Lampiran PP.1.3.4(A1) hingga (A3); gaji hakiki dan imbuhan tetap semasa bersara RM11,021.58.
Jumlah GCRDibayarAmaun
135 hari45 hariRM16,532.37
180 hari90 hariRM33,064.74
193 hari90 hariRM33,064.74

Dalam contoh 193 hari, lebihan 13 hari boleh digunakan sebagai cuti rehat pada tahun persaraan. Lampiran (A1) mencetak RM16,530.37, tetapi 1/30 × 45 × RM11,021.58 sebenarnya RM16,532.37.

Bayaran GCR awal dibuat oleh kementerian atau jabatan sendiri ke akaun gaji selepas JPA meluluskan. Panduan JPA menyebut kementerian membayarnya dalam siling bajet daripada MOF, dan kementerian boleh menetapkan syarat tambahan.

Cara memohon GCR 90 hari

  1. Cetak dan isi borang Lampiran PP.1.3.4(B) dalam dua salinan. Kira anggaran dengan fail Excel Sistem Pengiraan GCR, yang boleh dimuat turun di laman Sistem Award GCR.
  2. Dapatkan pengesahan pegawai sumber manusia dan perakuan Ketua Jabatan.
  3. Pentadbir Agensi di kementerian atau jabatan memuat naik borang dan semua dokumen sokongan ke Sistem Award GCR JPA untuk kelulusan Bahagian Pencen JPA.

Permohonan dibuka oleh kementerian mengikut siling peruntukan yang diagihkan oleh MOF, jadi tanya unit sumber manusia bila ia dibuka. Menurut soalan lazim Sistem Award GCR, permohonan lengkap biasanya diproses dalam tempoh tiga bulan dari tarikh dokumen lengkap diterima. Syarat dan contoh penuh ada dalam Ceraian PP.1.3.4 pekeliling JPA.

Siapa layak GCR, siapa tidak

Layak dibayar GCR

  • pegawai lantikan tetap yang bersara, termasuk yang masih dalam tempoh percubaan;
  • pegawai lantikan sementara yang bersara.

Tidak layak

  • pegawai yang meletakkan jawatan;
  • pegawai yang dibuang kerja atas tindakan tatatertib;
  • lantikan sambilan atau sangkutan.

JPA meluluskan dan membayar GCR pesara perkhidmatan awam Persekutuan. Pesara perkhidmatan awam negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan dibayar oleh jabatan terakhir tempat mereka berkhidmat.

Rekod cuti, HRMIS dan borang GCR

GCR bergantung pada rekod. Setiap tahun, cuti yang tidak dapat dihabiskan mesti disahkan Ketua Jabatan menggunakan borang Lampiran PP.1.3.1(B), dan kelulusan itu dicatat dalam Kenyataan Cuti di dalam Buku Perkhidmatan Kerajaan.

Semasa bersara, GCR dituntut melalui Borang JPA.BP.UMUM.B02 Pin (Pengiraan Cuti Rehat Yang Boleh Dikumpulkan), bersama dokumen persaraan lain.

Semak jumlah hari dalam Kenyataan Cuti dan HRMIS awal-awal, bukan pada bulan terakhir. Kalau ada tahun yang tiada pengesahan Ketua Jabatan, bawa kepada unit sumber manusia selagi anda masih berkhidmat.

Bila GCR dibayar

Dalam tempoh 21 hari dari tarikh persaraan, menurut soalan lazim JPA. Bagi persaraan pilihan, GCR layak dibayar pada tarikh bersara berkuat kuasa, walaupun pencen bulanan bermula kemudian. Lihat pengiraan pencen pilihan untuk tarikh-tarikhnya.

Mahu lihat GCR bersama pencen bulanan dan ganjaran dalam satu kiraan? Guna kalkulator pengiraan pencen di halaman utama.

Soalan lazim GCR

Letak jawatan dapat GCR tak?

Tidak. GCR tidak diberi kepada pegawai yang meletakkan jawatan atau dibuang kerja.

GCR 90 hari boleh mohon berapa kali?

Sekali sahaja sepanjang perkhidmatan.

Cuti lebih 180 hari hangus ke?

Lebihan itu tidak dibayar tunai. Ia boleh digunakan sebagai cuti rehat dalam 12 bulan sebelum bersara, dengan kelulusan Ketua Jabatan. Kalau tidak digunakan sebelum bersara, hari itu tidak dibayar.

GCR dikira ikut gaji bila?

Gaji hakiki dan imbuhan tetap terakhir semasa bersara, pada gred yang telah disahkan. Untuk tebusan awal, gaji semasa pada masa permohonan dibuat.

Guru dapat GCR?

Ya. Guru dan pensyarah yang mengajar dan menikmati cuti penggal atau cuti semester diberi Cuti Rehat Khas (CRK). CRK yang tidak dapat dihabiskan boleh dikumpul sebagai GCR sejak 1 Mac 2004. Kadarnya ikut tahun: 7 hari setahun dari 2004, 10 hari dari 1 Januari 2018, dan 15 hari dari 1 September 2022 bagi yang genap 10 tahun perkhidmatan. Guru Besar, Pengetua dan pegawai pendidikan di pejabat pula dapat cuti rehat tahunan biasa. Had 180 hari yang sama terpakai.

GCR pesara kerajaan negeri dibayar oleh siapa?

Oleh jabatan terakhir tempat pesara itu berkhidmat, dan begitu juga bagi pesara badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan. JPA hanya meluluskan dan membayar GCR pesara perkhidmatan awam Persekutuan.