Formula dan cara kira pencen bulanan
Formula ini ditetapkan dalam peraturan 4(1)(a) Peraturan-Peraturan Pencen 1980, dan JPA memakainya dalam Jadual 8 pekeliling Persaraan dan Faedah Persaraan:
Pencen bulanan = 1/600 × jumlah genap bulan perkhidmatan yang boleh dimasuk kira × gaji akhir
Kebanyakan salah kira berpunca daripada empat perkara di bawah: cara mengira genap bulan, apa yang masuk dalam gaji akhir, had 60% dan pencen minimum RM1,000.
Genap bulan perkhidmatan yang boleh dimasuk kira
Hanya bulan penuh dikira. Kira tahun dan bulan dari tarikh mula berkhidmat hingga tarikh bersara. Kalau haribulan tarikh bersara lebih kecil daripada haribulan tarikh mula berkhidmat, bulan terakhir itu belum genap dan tidak dikira.
Contoh: mula berkhidmat 15 Mac 1995, bersara 10 Jun 2026. Kiraan kasarnya 31 tahun 3 bulan, tetapi 10 haribulan belum sampai 15 haribulan. Jadi bulan terakhir tidak dikira: 31 tahun 2 bulan, iaitu 374 bulan.
Yang dikira termasuk masa bertugas, cuti bergaji, cuti tanpa gaji yang diberi atas sebab dasar awam (ditentukan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam) dan tempoh pinjaman atau pertukaran sementara ke organisasi yang diluluskan Kerajaan. Cuti tanpa gaji yang lain ditolak. Tempoh berstatus sandaran, kontrak, sangkut dan sambilan juga tidak dikira, seperti yang dijawab JPA dalam soalan lazim urusan persaraan.
Gaji akhir: apa yang masuk, apa yang tidak
JPA mentakrifkan gaji akhir sebagai gaji hakiki bulanan yang akhir diterima, termasuk apa-apa elaun berpencen. Imbuhan tetap seperti ITKA, ITP, ITK dan ITJU tidak masuk dalam kiraan pencen dan ganjaran.
Untuk GCR, kiraannya terbalik: imbuhan tetap dicampur, elaun berpencen tidak. Kalau ITKA atau ITP dimasukkan ke dalam gaji akhir semasa mengira pencen, angka yang keluar akan lebih tinggi daripada yang sebenarnya dibayar.
Had maksimum: 60% gaji akhir
Seksyen 22(1) Akta Pencen 1980 menetapkan pencen perkhidmatan tidak boleh melebihi tiga perlima gaji akhir. Setiap tahun perkhidmatan bernilai 2% (12/600), jadi had 60% dicapai pada 360 bulan, iaitu 30 tahun. Khidmat selepas itu tidak lagi menaikkan pencen bulanan. Ganjaran pula masih naik.
Pencen minimum RM1,000 (300 bulan ke atas)
Bagi tempoh 300 bulan (25 tahun) atau lebih, pencen tidak boleh kurang daripada RM1,000 sebulan. Kadar ini ditetapkan melalui Warta P.U.(B) 115/2018 di bawah seksyen 22A dan berkuat kuasa 1 Januari 2018. Sebelum itu, kadarnya RM950 (dari 1 Julai 2016) dan RM820 (dari 1 Januari 2012).
Contoh: gaji akhir RM1,800 dengan 300 bulan. Ikut formula, pencennya RM900, tetapi yang dibayar RM1,000. Pada 299 bulan pula, minimum ini tidak terpakai dan pencennya hanya RM897.
Jadual peratus pencen ikut tahun perkhidmatan
Setiap genap tahun menambah 2% gaji akhir. Guna jadual ini untuk anggaran kasar sebelum masuk angka tepat.
| Tempoh | Kadar | Pencen |
|---|---|---|
| 10 tahun (120 bulan) | 20% | RM800.00 |
| 15 tahun (180 bulan) | 30% | RM1,200.00 |
| 20 tahun (240 bulan) | 40% | RM1,600.00 |
| 25 tahun (300 bulan) | 50% | RM2,000.00 |
| 30 tahun (360 bulan) | 60% | RM2,400.00 |
| 35 tahun (420 bulan) | 60% (had) | RM2,400.00 |
Untuk 25 tahun ke atas dengan gaji akhir rendah, semak juga pencen minimum RM1,000 di atas.
Formula ganjaran pencen (7.5%)
Ganjaran = 7.5% × jumlah genap bulan perkhidmatan × gaji akhir
Ganjaran dibayar sekali sahaja, dan tidak ada had 360 bulan seperti pencen bulanan.
JPA sendiri menunjukkannya dalam contoh Lampiran PP.1.2.5(D): pegawai dengan 386 bulan dan gaji akhir RM5,440.60 menerima ganjaran 7.5% × RM5,440.60 × 386 = RM157,505.37, sedangkan pencennya berhenti pada 3/5 × RM5,440.60 = RM3,264.36. Contoh itu untuk persaraan atas sebab kesihatan, tetapi formula ganjarannya sama. Peraturan 4(1)(b) tidak meletakkan had bulan, dan kalkulator JPA juga mengira ganjaran dengan semua bulan.
Cara cepat mengagak: setiap genap tahun perkhidmatan bernilai 0.9 bulan gaji akhir dalam ganjaran (7.5% × 12). Jadi 30 tahun bersamaan 27 kali gaji akhir.
Contoh penuh pengiraan pencen (397 bulan, gaji akhir RM4,850)
Angka dalam contoh ini rekaan dan sengaja dibulatkan supaya mudah diikut.
Lahir 12 Ogos 1966. Mula berkhidmat 1 Julai 1993. Memilih umur bersara 60.
Gaji hakiki RM4,850.00, tiada elaun berpencen, jadi gaji akhir juga RM4,850.00. Imbuhan tetap RM500.00 sebulan. GCR terkumpul 180 hari.
- Tarikh bersara wajib ialah hari lahir ke-60, iaitu 12 Ogos 2026.
- Genap bulan: 1 Julai 1993 hingga 12 Ogos 2026 ialah 33 tahun 1 bulan, jadi 397 bulan.
- Pencen ikut formula: 1/600 × 397 × RM4,850 = RM3,209.08. Angka ini melepasi had, jadi pencen dihadkan kepada 3/5 × RM4,850 = RM2,910.00 sebulan.
- Ganjaran: 7.5% × 397 × RM4,850 = RM144,408.75.
- GCR: 1/30 × 180 hari × (RM4,850 + RM500) = RM32,100.00.
Bayaran sekali gus semasa bersara (ganjaran dan GCR) berjumlah RM176,508.75, sebelum potongan hutang kerajaan jika ada. Selepas itu, RM2,910.00 masuk setiap bulan.
| Kes | Pencen | Ganjaran |
|---|---|---|
| 340 bulan, gaji akhir RM3,960 | RM2,244.00 | RM100,980.00 |
| 300 bulan, gaji akhir RM1,800 | RM1,000.00 minimum | RM40,500.00 |
Umur bersara wajib: 60 tahun, atau 55/56/58
Umur bersara wajib ialah 60 tahun di bawah seksyen 10(1) Akta Pencen 1980. Ini terpakai terus kepada pegawai yang dilantik pada atau selepas 1 Januari 2012, dan kepada pegawai lebih awal yang memilih opsyen 60 tahun.
Pegawai yang dilantik sebelum 1 Januari 2012 dan tidak memilih 60 kekal dengan umur 55, 56 atau 58 ikut opsyen asal. Opsyen yang sudah dibuat adalah muktamad.
Kalkulator di atas mengambil hari lahir pada umur bersara sebagai tarikh bersara, sama seperti kalkulator JPA.
Jenis persaraan lain, formula lain
Formula 1/600 tadi untuk persaraan wajib. Jenis persaraan lain mengubah satu atau dua bahagiannya.
- Persaraan pilihan (umur 40 ke atas, sekurang-kurangnya 10 tahun khidmat)
- Formula pencen sama, termasuk had 60% dan minimum RM1,000. Ganjaran dan GCR dibayar pada tarikh bersara, tetapi pencen bulanan hanya bermula umur 55 bagi lantikan pada atau selepas 12 April 1991.
- Persaraan atas sebab kesihatan
- Pencen 1/600, tetapi tidak kurang 1/5 gaji akhir. Sejak 1 Januari 2018 tempoh perkhidmatan ditambah secara isyarat; contohnya, tempoh sebenar 120 hingga 240 bulan ditambah 120 bulan. Ganjaran dan GCR dibayar dalam 21 hari, pencen dalam 30 hari.
- Jawatan dihapuskan atau penyusunan semula
- Pencen 1/500 × genap bulan × gaji akhir, dengan had 60%. Ganjaran 7.5% dan GCR tidak berubah.
Untuk bersara awal, lihat pengiraan pencen pilihan. Untuk persaraan atas sebab kesihatan, guna kalkulator ASK di laman pencen JPA kerana kiraannya ikut kategori tempoh perkhidmatan.
GCR secara ringkas
GCR (Gantian Cuti Rehat) ialah wang tunai sebagai ganti cuti rehat yang tidak dapat dihabiskan kerana kepentingan perkhidmatan. Kiraannya 1/30 × hari terkumpul × (gaji hakiki + imbuhan tetap), dengan had 180 hari sejak 1 Januari 2023.
Bagi cuti rehat tahunan, setahun paling banyak 15 hari (atau separuh kelayakan, mana yang kurang) boleh dikumpul. Tahun terakhir perkhidmatan lain sedikit: baki cuti boleh dikumpul sehingga sama banyak dengan kelayakan cuti rehat tahunan. Sebanyak 90 hari pula boleh ditebus lebih awal, sekali sahaja. Butirannya, termasuk kalkulator GCR 90 hari, ada di halaman pengiraan GCR.
Bila pencen, ganjaran dan GCR dibayar
GCR masuk dalam 21 hari selepas tarikh bersara. Untuk ganjaran dan pencen bulanan pertama, soalan lazim JPA tidak memberi bilangan hari bagi persaraan wajib. Yang jelas, KWAP hanya memproses selepas dokumen lengkap diterima. KWAP ialah ejen JPA yang memproses dan membayar faedah persaraan sejak 1 November 2015.
| Bila | Apa berlaku |
|---|---|
| 6 hingga 3 bulan sebelum bersara | Jabatan menghantar dokumen persaraan lengkap ke KWAP. KWAP minta dokumen sampai dalam tempoh ini, dan soalan lazim JPA menetapkan tidak lewat 3 bulan sebelum tarikh bersara. |
| Dalam 21 hari selepas bersara | GCR dibayar. |
| Selepas dokumen lengkap diproses | KWAP membayar ganjaran dan memulakan pencen bulanan. |
Untuk mengelak bayaran lewat, halaman bakal pesara KWAP minta anda menyemak buku rekod perkhidmatan dan rekod cuti, mengemas kini maklumat HRMIS secara berkala, dan memaklumkan jabatan jika ada yang perlu dibetulkan.
Ada kenaikan pangkat atau pergerakan gaji yang hanya direkod selepas bersara? Menurut soalan lazim urusan persaraan JPA, pesara perlu memastikan jabatan terakhir menghantar kenyataan perkhidmatan yang dikemas kini ke KWAP supaya faedah dihitung semula.
Kenaikan pencen SSPA untuk pesara sedia ada (2024 dan 2026)
Bahagian ini untuk yang sudah bersara. Pencen pesara dinaikkan selari dengan kenaikan gaji Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), dalam dua fasa:
| Kumpulan | Fasa 11 Dis 2024 | Fasa 21 Jan 2026 |
|---|---|---|
| Pengurusan Tertinggi | 4% | 3% |
| Pelaksana dan P&P, gaji akhir melebihi RM3,000 | 8% | 7% |
| Pelaksana dan P&P, gaji akhir kurang daripada RM3,000 | RM240 | 7% |
Untuk Fasa 1, notis penyelarasan pencen SSPA oleh JPA menerangkan kaedah dua langkah. Pertama, kira gaji akhir bersamaan 2024, iaitu gaji akhir (atau gaji bersamaannya) ditambah kadar dalam jadual. Kedua, masukkan angka itu ke dalam formula ini:
Pencen baharu = [1/600 × gaji akhir bersamaan 2024 × tempoh perkhidmatan] + PKKP
Jika tempoh perkhidmatan melebihi 30 tahun, pencen tertakluk kepada had 3/5 (60%) gaji akhir bersamaan 2024.
PKKP (Penghargaan Khas Kepada Pesara) hanya terpakai bagi yang bersara pada atau sebelum 31 Disember 2022. Latar belakangnya, termasuk keputusan Mahkamah Persekutuan tentang kenaikan 2% setahun, diterangkan dalam soalan lazim pelarasan pencen JPA.
Setakat 23 September 2026, notis JPA hanya menunjukkan langkah kiraan Fasa 1. Kadar Fasa 2 sudah diumumkan tetapi contoh kiraannya belum diterbitkan. Notis itu juga tidak menyebut kes gaji akhir tepat RM3,000; tanya KWAP jika itu kes anda.
Kalkulator pencen JPA dan semakan angka rasmi
Angka di laman ini anggaran. Angka muktamad dikira oleh Bahagian Pencen JPA dan KWAP berdasarkan Buku Perkhidmatan Kerajaan anda. Untuk bandingan, kalkulator pencen JPA ada tiga:
- Kalkulator Persaraan Wajibpencen.jpa.gov.my
- Kalkulator Persaraan Pilihanpencen.jpa.gov.my
- Kalkulator Persaraan Atas Sebab Kesihatanpencen.jpa.gov.my
Kod Kalkulator Persaraan Wajib dan Kalkulator Persaraan Pilihan JPA masih menggunakan RM720 sebagai pencen minimum, sedangkan kadar semasa RM1,000. Jadi bagi gaji akhir rendah dengan 25 tahun ke atas, pencen yang dipaparkan di sana boleh jadi lebih rendah daripada di sini. Kalkulator ASK pula tidak mengenakan pencen minimum RM1,000 langsung, dan kalkulator persaraan pilihan JPA memaparkan ringgit sahaja, tanpa sen.
Pertanyaan tentang urusan persaraan: Pusat Panggilan KWAP di 03-8887 8777, atau e-mel mypesara@kwap.gov.my.
Soalan lazim tentang kiraan pencen
Berapa pencen kalau berkhidmat 25 tahun?
Tempoh 300 bulan bersamaan separuh gaji akhir (300/600). Dengan gaji akhir RM4,000, pencennya RM2,000 sebulan. Pencen minimum RM1,000 juga mula terpakai pada 300 bulan.
Gaji akhir tu termasuk elaun ke?
Termasuk elaun berpencen, jika ada. Imbuhan tetap (ITKA, ITP, ITK, ITJU) tidak termasuk. Untuk GCR pula terbalik: imbuhan tetap dicampur, elaun berpencen tidak.
Ganjaran ada had 360 bulan tak?
Tiada. Hanya pencen bulanan berhenti naik pada 360 bulan. Ganjaran dikira dengan semua genap bulan.
Letak jawatan dapat pencen?
Tidak. Halaman bakal pesara KWAP menyatakan anggota yang meletakkan jawatan, atau dibuang kerja atas tindakan tatatertib, tidak layak menerima faedah persaraan. GCR juga tidak dibayar dalam kes ini.
Pencen boleh dikurangkan atau ditahan?
Boleh. Seksyen 3 Akta Pencen 1980 menyebut tiada pegawai mempunyai hak mutlak kepada pencen atau ganjaran. Yang di-Pertuan Agong boleh mengurangkan atau menahannya jika pegawai didapati bersalah atas kecuaian, salah aturan atau salah laku.
Kenapa angka saya lain daripada kalkulator JPA?
Biasanya kerana salah satu daripada ini: pencen minimum (RM720 dalam kod kalkulator wajib dan pilihan JPA, RM1,000 di sini), cara membundarkan sen, tarikh yang dimasukkan, atau cuti tanpa gaji yang ditolak. Angka muktamad tetap mengikut rekod dalam Buku Perkhidmatan.
Tentang Kira Pencen
Kira Pencen ialah laman persendirian yang menerangkan cara pencen, ganjaran dan GCR penjawat awam dikira, berserta kalkulator anggaran. Laman ini tiada kaitan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), KWAP atau mana-mana agensi kerajaan.
Edwin Tan menulis dan menyelenggara laman ini.
Setiap formula dan had disemak dengan teks asal: Akta Pencen 1980, Peraturan-Peraturan Pencen 1980 dan pindaannya (P.U.(A) 16/2022, P.U.(A) 149/2023), pemberitahuan pencen minimum P.U.(B) 115/2018 di bawah seksyen 22A Akta Pencen 1980, pekeliling JPA Persaraan dan Faedah Persaraan, serta Panduan Mengurus GCR 2026. Semakan terakhir: 23 September 2026.
Hubungi
Jumpa kesilapan atau ada pekeliling baharu? E-mel hello@kirapencen.my. Jangan hantar nombor kad pengenalan atau salinan dokumen perkhidmatan.
Privasi
Kalkulator di laman ini berjalan dalam pelayar anda. Tarikh dan gaji yang dimasukkan tidak dihantar atau disimpan di mana-mana pelayan.
Maklumat peribadi dikendalikan mengikut Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. Maklumat dalam e-mel yang anda hantar hanya digunakan untuk membalas e-mel itu.
Laman ini menggunakan perkhidmatan analitik (jika ada) untuk mengira jumlah pelawat, dan memaparkan iklan Google AdSense (jika ada). Vendor pihak ketiga, termasuk Google, menggunakan kuki untuk memaparkan iklan berdasarkan lawatan anda sebelum ini ke laman ini dan laman lain. Kuki pengiklanan Google membolehkan Google dan rakan kongsinya memaparkan iklan kepada anda berdasarkan lawatan tersebut. Anda boleh menolak iklan yang diperibadikan di Tetapan Iklan Google atau di www.aboutads.info.
Penafian
Semua angka di laman ini anggaran untuk tujuan perancangan. Faedah persaraan sebenar diluluskan oleh JPA dan dibayar oleh KWAP berdasarkan rekod perkhidmatan, dan boleh ditolak hutang kerajaan jika ada. Laman ini bukan nasihat kewangan atau nasihat undang-undang. Jika ada percanggahan, ikut teks rasmi JPA dan undang-undang yang berkuat kuasa.